Malaysia di Landasan Tepat Capai Ekonomi Internet

Sinar Online | 22 Oktober 2016

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai status sebagai ekonomi internet sepenuhnya menerusi pengumuman pelbagai inisiatif dalam Bajet 2017, kata firma penyelidikan dan perundingan, Gartner Research (Gartner).

Naib Presidennya, Tervinderjit Singh berkata bajet itu memberi penekanan terhadap usaha kesalinghubungan digital membabitkan penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan yang dapat membentuk teras pewujudan perniagaan digital.

“Cadangan peruntukan RM162 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan pembangunan ekosistem e-dagang dan RM200 juta untuk menggalakkan penubuhan syarikat permulaan, hanya mengukuhkan lagi komitmen kerajaan menyokong aktiviti digital.

“Usaha mempertingkat liputan dan kualiti kesalinghubungan jalur lebar di seluruh negara menerusi peruntukan RM1 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan menawarkan akses telefon pintar akan meningkatkan keupayaan digital serta memacu usaha transformasi digital,” katanya.

Sejajar unjuran Gartner bahawa setiap industri akan ditransformasikan oleh perniagaan digital menjelang 2025, firma itu turut menyokong penuh rancangan kerajaan memperkenalkan Digital Free Zone yang pertama di dunia.

Ia bertujuan merangsang pertumbuhan serta memacu kecekapan dalam dunia digital menerusi gabungan zon fizikal dan maya bagi kemudahan e-dagang.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, syarikat teknologi Cisco Malaysia berkata inisiatif membabitkan ekonomi digital itu tidak hanya memperkasakan ekonomi menerusi inovasi dan teknologi, tetapi turut membentuk asas transformasi digital negara.

Pengarah Urusannya, Albert Chai berkata penubuhan lebih banyak lokasi Hab Digital Malaysia dapat mewujudkan ekosistem yang menyokong pasaran, merancakkan penghasilan produk dan perkhidmatan baharu.

Ia turut menjadi platform kemudahan untuk syarikat permulaan, pereka cipta dan usahawan teknologi untuk menjalin kerjasama.

“Pengenalan kategori pas kerja baharu bagi usahawan teknologi asing yang berpengetahuan juga akan membantu dari segi melahirkan tenaga kerja digital dan menjadi asas bagi Digital Malaysia,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *