Malaysia Ke Arah Ekonomi Digital

Jack Ma dilantik Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia

Baharom Mahusin Melaporkan dari BEIJING, CHINA 

Utusan Online | Jumaat, 5 November 2016 | 12:47AM

BEIJING 4 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak memuktamadkan lawatannya ke China dengan kejayaan luar biasa diplomasi Malaysia dan China bagi melaksanakan perkongsian untuk kemakmuran bersama dan antara hasil besar yang dicapainya adalah ikon global China, Jack Ma bersetuju membantu Malaysia membangunkan ekonomi digital negara.

Menurut Perdana Menteri, zon e-dagang untuk ekonomi digital yang akan diterajui syarikat Internet China itu akan dimulakan pada bulan April tahun depan dan bakal merevolusikan ekonomi Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang di rantau ASEAN.

Selepas bertemu Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri, Li Keqiang; berjumpa lebih 33 kapten bisnes di China dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin wilayah Hebei dan kota Tianjin, Najib semalam bertemu dengan Jack Ma, 52, yang merupakan Pengerusi Kumpulan Alibaba.

Dalam pertemuan dengan Jack Ma, Perdana Menteri yang tiba di ibu kota China ini pada 31 Oktober lalu berbincang mengenai projek yang akan dilaksanakan bersama ahli perniagaan tersebut iaitu Zon Perdagangan Bebas Digital yang disebut dalam ucapan Bajet 2017 kira-kira tiga minggu lalu.

Najib kemudian mengumumkan pelantikan Jack Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia dalam ucapannya di sini petang ini pada pelancaran Pavilion Pelancongan Alitrip Malaysia, sebuah platform e-dagang Kumpulan Alibaba.

Jack Ma, seorang bekas guru bahasa Inggeris dari Hangzhao, China, menubuhkan Kumpulan Alibaba bersama 18 orang rakannya pada tahun 1999, dan hari ini syarikat e-dagang itu mempunyai lebih 46,000 pekerja, mendapat perolehan tahunan sebanyak RM60 bilion, dengan nilai aset kira-kira RM226 bilion.

Dalam sidang akhbarnya bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya, Najib memberitahu, di China, Kumpulan Alibaba, misalnya, telah membangunkan sistem perbankan dalam talian yang membolehkan permohonan pinjaman bank ditentukan oleh sistem komputer dalam tempoh tiga minit sahaja.

Menurut Perdana Menteri, terdapat begitu banyak perjanjian persefahaman yang dicapai sepanjang lawatannya ke negara ini iaitu sebanyak 16 perjanjian yang nilai projeknya menjangkau RM140 bilion dan beliau mahu pelaksanaannya dipantau rapi.

Beliau menugaskan Utusan Khas Malaysia ke China, Tan Sri Ong Ka Ting untuk menyelaraskan semua pelaksanaan keputusan yang dicapai dalam lawatan rasmi itu bagi memastikan keberhasilannya secepat mungkin se­perti dalam tempoh empat bulan lagi Malaysia perlu mengotakan apa yang telah dipersetujui berhubung dengan zon perdagangan bebas e-dagang.

Najib berkata, Jack Ma akan datang ke Malaysia pada Mac depan untuk menghadiri forum transformasi global Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan melancarkan Zon Perdaga­ngan Bebas Digital Malaysia. – UTUSAN